Pegawai Penyelidik
19/05/2011
Artikel Bahasa Malaysia
Akhlak ditakrifkan sebagai tingkah laku, perangai, atau tabiat. Akhlak yang baik disebut sebagai beradab, beretika dan bersopan santun yang diterjemahkan dari hati yang ikhlas dan luhur. Islam telah mengingatkan kepada umatnya mengenai peri pentingnya memelihara akhlak dan mengamalkan nilai-nilai mulia dalam kehidupan seharian sebagai hamba yang taat kepada perintah Allah SWT. Begitu juga dalam soal akhlak (etika) kerja.
Akhlak (etika) kerja dalam Islam sebenarnya bermula dengan konsep dan pandangan Islam terhadap kerja itu sendiri. Apabila kita berakhlak ini bermakna kita faham akan konsep kerja dalam Islam sebagai jambatan menuju ke akhirat. Bekerja untuk mendapat pahala di sisi Allah SWT. Bahkan kepentingannya dilihat dapat membimbing para pekerja ke arah melakukan kebaikan dan menjauhi daripada segala kemungkaran. Namun begitu, berapa ramai di antara kita memilih untuk melakukan pekerjaan mengikut pandangan hidup Islam? Di kala itulah perlunya seseorang memiliki kefahaman dan kesedaran keagaaman terutama di dalam konsep kerja bagi membimbing mereka menjauhi pekerjaan yang dilarang oleh Allah SWT.
Kita bimbang jika wujudnya kejahilan umat Islam tentang peri pentingnya akhlak yang mulia sebagai matlamat beragama, ini akan membuka jalan bagi mereka untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran murni yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Apabila dorongan dan asakan hawa nafsu menjadi kuat dan fikiran dikalahkan oleh emosi mereka tidak berupaya mengawal dorongan-dorongan itu, lalu berlakulah tindak tanduk dan perbuatan yang dilarang oleh agama.
Justeru, bagi menghalang dorongan yang mengikut asakan hawa nafsu tersebut, kefahaman mengenai nilai-nilai akhlak atau etika kerja berlandaskan pandangan hidup Islam penting bagi menentukan matlamat kepada akal fikiran, tindakan dan tanggungjawab kita sebagai ‘khalifah’ yang diamanahkan di muka bumi ini. Kefahaman yang jelas berkaitan akhlak itu nanti akan menjadi panduan kepada para pekerja dalam melahirkan kerja yang cemerlang dan berkualiti.
Akhlak merupakan teras kepada pembentukan etika kerja seseorang. Akhlak mulia yang dimiliki oleh seseorang pekerja mahupun ketua menjadi lambang ketinggian peribadi dan kualiti individu terbabit. Ini bermakna apabila seseorang itu mempunyai akhlak yang baik maka, mereka akan melakukan pekerjaan dengan mengikut tuntutan Islam. Salah satunya berakhlak dalam melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh (itqan). Pekerjaan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan tergolong dalam amalan kebajikan. “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu kerja itu dengan tekun” ( Riwayat Al-Baihaqi)
Dalam hadis ini, menekankan supaya seseorang yang mempunyai akhlak yang baik perlu melakukan sesuatu pekerjaan dengan kemahiran dan ketekunan yang tinggi. Seseorang yang mempunyai akhlak (etika) tidak akan bekerja sambil lewa atau bertanguh-tangguh dalam menyiapkan tugasannya. Meskipun kerja itu dianggap membosankan tetapi apabila pekerja itu mempunyai akhlak dan anggapan yang baik terhadap kerja yang dilakukan maka kerja tersebut tidak dianggap sebagai bebanan. Dalam hal ini, kerja yang dilakukan akan dibuat secara bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu. Kerja yang bersungguh–sungguh ini akan dilakukan untuk mendapatkan hasil yang berkualiti. Bahkan ia juga dilakukan dengan sebaik yang mungkin bukan sekadar “melepas batuk ditangga”. Jika terdapat kesulitan semasa melaksanakan tugasnya, pekerja itu akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian dan tidak mudah putus asa atau mengaku kalah.
Begitu juga dengan amanah diri pekerja. Amanah merupakan akhlak yang perlu dipelihara oleh setiap pekerja sebagai teras keharmonian dan kejayaan sesebuah organisasi. Amanah sangat berat dan ia perlu disampaikan dengan benar dan jujur. Kejujuran dapat dilihat apabila seseorang pekerja itu melakukan tugas sepertimana yang diarahkan oleh ketua atau majikannya mengikut garis panduan yang ditetapkan dan tidak sama sekali melanggar batas syarak. Sekiranya amanah dilakukan di luar batas syarak maka pekerja itu boleh dianggap sebagai khianat serta tidak berakhlak. Oleh sebab itu, amanah itu perlu dipikul dan dijaga dengan baik. Begitu juga amanah dalam menjaga peralatan dan kemudahan milik pejabat atau organisasi. Sebagai contoh peralatan seperti telefon, mesin fotokopi, kereta pejabat, pencetak dan lain-lain untuk keperluan pejabat perlu dimanfaatkan dan digunakan untuk tujuan penyempurnaan tugas semata-mata; bukan sebaliknya.
Selain itu, akhlak (etika ) kerja ini juga mempunyai hubungan rapat dengan faktor masa atau bijak mengurus masa. "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berwasiat (nasihat-menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran." (Surah Al-Asr Ayat 1-3). Pepatah mengatakan ‘masa itu emas’ menunjukkan bahawa masa itu adalah sangat berharga. Cendiakiawan Islam juga menyifatkan masa itu sebagai sesuatu yang hidup. Kehidupan tidak akan bererti melainkan masa yang digunakan untuk beramal semenjak dari lahir hinggalah kepada saat yang terakhir. Imam Hassan Al-Banna menyatakan masa ibarat nyawa. Bagaimana seseorang menghargai nyawa yang ada padanya maka begitulah dia menghargai masa.
Begitu juga bagi seseorang pekerja amat perlu dititikberatkan soal menjaga masa kerana salah satu faktor kejayaan dalam pekerjaan adalah pengurusan masa yang berkesan dan cekap. Pengurusan masa yang cekap dapat membantu meringankan beban tugas di samping memudahkan segala urusan kerja. Sebagai contoh, semasa bekerja kita telah diperuntukkan waktu rehat yang secukupnya oleh majikan. Dalam masa yang agak singkat inilah kita perlu bijak memanfaatkan masa untuk makan, sembahyang dan berehat. Masa yang tidak dijaga dengan baik akan menyebabkan banyak perkara lain tertunda, kerja tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan. Justeru, dalam mengatur masa, tugas yang penting didahulukan dan yang kurang mendesak perlu dilakukan kemudian.
Akhir sekali, akhlak (etika) kerja juga perlu ditekankan dalam aspek menjaga hubungan sesama rakan sekerja. Hubungan ini penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang baik dan menyeronokkan bukan membina permusuhan. Apabila hak sesama rakan dijaga dengan baik maka ia akan dapat mewujudkan persekitan kerja yang baik. Persekitaran kerja yang baik dapat dilihat apabila pekerja saling tegur menegur, memberi senyuman dan bertanyakan khabar. Hubungan yang baik ini juga akan mewujudkan semangat bekerjasama, saling bantu-membantu, bertukar-tukar fikiran, bersangka baik, nasihat menasihati dan sebagainya. Sebaliknya, sikap dan nilai buruk seperti iri hati, hasut-menghasut dan berprasangka buruk perlu dijauhi serta dihapuskan bagi mengelakkan sebarang ketidaksefahaman di tempat kerja.
Dengan serba sedikit huraian berkaitan persoalan akhlak (etika) kerja diharapkan kita sebagai umat Islam dapat memahami pentingnya menjaga dan memelihara akhlak sebagai jalan penyelesaian yang terbaik untuk menjauhi segala kemungkaran dan kejahilan. Namun, apa yang penting marilah kita sama-sama menjaga akhlak dalam bekerja dengan baik kerana natijahnya nanti begitu besar bukan sekadar seronok bekerja malah kita akan mendapat keberkatan rezeki yang halal daripada Allah SWT di dunia dan di akhirat.
No comments:
Post a Comment