Tuesday, March 23, 2010

SERAUT BICARA


PENGETUA SMK TINGGI KAJANG


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

“High Terbilang 2010” yang menjadi visi sekolah ini menjadikan tahun 2010 sebagai fasa yang penuh dengan cabaran. Visi ini tentunya menuntut seluruh warga sekolah memaksimumkan usaha, komitmen dan kerjasama berpasukan untuk memacu SMK Tinggi Kajang ke arah kecemerlangan yang meliputi kesemua aspek iaitu kurikulum,kokurikulum,sahsiah, dan dsiplin murid-murid.

Dunia pendidikan memang penuh dengan duri dan ranjaunya. Di bahu kita tergalas amanah dan tanggungjawab yang besar untuk mencorakkan modal insan ini mengikut acuan yang telah digariskan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Namun saya yakin dan percaya bahawa semua guru akan sentiasa membuat anjakan dengan memperlengkap diri dengan pengetahuan dan kemahiran profesional serta nilai dan amalan profesional keguruan. Kesediaan guru-guru untuk membuat perubahan amat perlu sebagai satu langkah memperkasa pengetahuan dan kemahiran guru-guru menangani perubahan persekitaran sama ada di peringkat global mahupun glokal.

Bagi mengakhiri bicara, gurulah yang mampu menentukan jaya atau gagalnya matlamat pendidikan negara. Cabaran dan kesukaran yang ditempuh oleh guru-guru dalam melaksanakan tanggungjawabnya akan menemui titik kepuasan andai anak-anak didiknya menjadi modal insan yang dapat mengisi harapan dan kelangsungan wawasan negara. Bak kata pujangga:

Kalau hendak seronok dan bahagia untuk sehari, adakanlah parti,

Kalau hendak seronok dan bahagia seminggu, pergilah bercuti,

Kalau hendak seronok dan bahagia untuk setahun, berkebunlah,

Kalau hendak seronok dan bahagia untuk sepanjang hayat, majukanlah manusia!

Sekian terima kasih.


NIK MAT BIN NIK MAN

Pengetua

SMK Tinggi Kajang