Monday, April 19, 2010

Amanah Asas dalam Diri Pekerja

Nor Hartini Bt. Saari
Pegawai Penyelidik
16/04/2010
Utusan Malaysia

Setiap pekerja mempunyai amanah terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Bagi pekerja Muslim, memelihara amanah yang diberikan adalah satu tanggungjawab maka hendaklah ditunaikan dengan sebaik–baik mungkin dan tidak menyalahgunakannya sama sekali.

Jika kita seorang majikan sesebuah organisasi, maka kita perlu memiliki amanah untuk memelihara kebajikan pekerja termasuk membayar gaji atau upah bersesuaian dengan kebolehan serta kecekapan mereka, menghormati pandangan mereka, tidak sama sekali menindas serta memerah keringat mereka secara tidak adil dan sentiasa memberikan dorongan supaya mereka mencintai pekerjaan, memotivasi dan memberi semangat dalam melaksanakan tugas.

Sebaliknya, jika kita seorang pekerja maka, di bahu kita menggalas amanah untuk melaksanakan tugas dengan penuh minat, ketekunan, kegigihan dan kesungguhan yang tinggi. Kita diseru agar mengutamakan kepentingan majikan serta organisasi berbanding kepentingan diri, sentiasa berusaha memastikan majikan dan organisasi tempat kita bekerja, mencapai matlamat yang disasarkan dengan jayanya.

Amalan melaksanakan tugas dengan penuh ketekunan, kegigihan dan kesungguhan sememangnya tidak asing bagi seorang pekerja Muslim. Ini kerana ia telah dilatih dalam kehidupan seharian, khususnya melalui ibadah yang dilaksanakan, seperti solat. Al-Quran menjelaskan bahawa solat berperanan mencegah orang yang melaksanakannya daripada melakukan dosa dan kemungkaran.

Tuesday, April 13, 2010

Pelajar pendidikan vokasional mampu bergaji tinggi

INISIATIF Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadikan sistem pendidikan vokasional di Perancis sebagai model dalam sistem pendidikan di Malaysia adalah sangat signifikan dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara strategi MEB adalah meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia dengan fokus ditumpukan kepada golongan kurang bernasib baik. Selain daripada golongan miskin dan orang kurang upaya, mereka yang mencapai tahap akademik yang rendah juga boleh digolongkan sebagai kurang bernasib baik. Justeru, dengan memberikan mereka pendidikan vokasional dan kemahiran, pelajar yang tercicir akademik juga boleh menikmati pendapatan tinggi.

Friday, April 2, 2010

Apa Tugas Kita Sebenarnya.....

Peranan Guru bukan hanya sekadar mengajar murid-murid di dalam kelas. Sarjana Islam telah menggariskan beberapa peranan guru muslim, antaranya;

1. Guru sebagai mudarris (pengajar) menyampaikan ilmu di dalam kelas tidak kira apa mata pelajaran tanpa jemu dan bosan.

2. Guru sebagai muallim (orang yang memiliki ilmu). Sebagai muallim para pendidik mesti menguasai bidang yang diajarnya.

3. Guru juga seorang muaddib (pendidik adab dan akhlak) iaitu mengajar anak muridnya tentang adab dan tingkah laku yang baik. Menyemai sifat terpuji dan menyingkirkan sifat keji.

4. Guru sebagai murabbi ( penjaga/pemelihara) menjaga keperluan dan kebajikan anak didik kita.

5. Guru sebagai mursyid ( pembimbing jalan yang benar) . Tunjukkan kebenaran dan bimbing mereka ke arah kebenaran itu. Bimbing jiwa, perasaan dan pemikiran supaya mereka sentiasa di atas landasan yang benar.

- Guru yang memiliki 5M ini, mampu memainkan peranan sebagai agen membentuk dan mendidik masyarakat.

Tuesday, March 23, 2010

SERAUT BICARA


PENGETUA SMK TINGGI KAJANG


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

“High Terbilang 2010” yang menjadi visi sekolah ini menjadikan tahun 2010 sebagai fasa yang penuh dengan cabaran. Visi ini tentunya menuntut seluruh warga sekolah memaksimumkan usaha, komitmen dan kerjasama berpasukan untuk memacu SMK Tinggi Kajang ke arah kecemerlangan yang meliputi kesemua aspek iaitu kurikulum,kokurikulum,sahsiah, dan dsiplin murid-murid.

Dunia pendidikan memang penuh dengan duri dan ranjaunya. Di bahu kita tergalas amanah dan tanggungjawab yang besar untuk mencorakkan modal insan ini mengikut acuan yang telah digariskan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Namun saya yakin dan percaya bahawa semua guru akan sentiasa membuat anjakan dengan memperlengkap diri dengan pengetahuan dan kemahiran profesional serta nilai dan amalan profesional keguruan. Kesediaan guru-guru untuk membuat perubahan amat perlu sebagai satu langkah memperkasa pengetahuan dan kemahiran guru-guru menangani perubahan persekitaran sama ada di peringkat global mahupun glokal.

Bagi mengakhiri bicara, gurulah yang mampu menentukan jaya atau gagalnya matlamat pendidikan negara. Cabaran dan kesukaran yang ditempuh oleh guru-guru dalam melaksanakan tanggungjawabnya akan menemui titik kepuasan andai anak-anak didiknya menjadi modal insan yang dapat mengisi harapan dan kelangsungan wawasan negara. Bak kata pujangga:

Kalau hendak seronok dan bahagia untuk sehari, adakanlah parti,

Kalau hendak seronok dan bahagia seminggu, pergilah bercuti,

Kalau hendak seronok dan bahagia untuk setahun, berkebunlah,

Kalau hendak seronok dan bahagia untuk sepanjang hayat, majukanlah manusia!

Sekian terima kasih.


NIK MAT BIN NIK MAN

Pengetua

SMK Tinggi Kajang